Tuesday 14 August 2012

Skaud pemantau peniaga musim perayaan digerakkan

SEREMBAN – Seramai 79 pegawai pemantau harga ditempatkan di lokasi tumpuan orang ramai seluruh pasar raya dan pasar awam di negeri ini.

Ia bertujuan untuk membuat pemeriksaan serta pemantauan terhadap peniaga sepanjang musim perayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, kesemua mereka bertindak sebagai pemantau harga dari 12 hingga 26 Ogos depan untuk memastikan tidak ada peniaga cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan, selain tidak mematuhi kawalan harga sempena musim Aidilfitri ini.

“Bagaimanapun, sehingga kini jabatan tidak menerima sebarang aduan mahupun laporan daripada pengguna berkenaan masalah tersebut, sebelum skuad pemantau mula melaksanakan pemantauan harga barangan.

“Ini jelas membuktikan bahawa peniaga bekerjasama dengan kerajaan bagi meringankan beban rakyat terutama menjelang Aidilfitri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2012 di Pasaraya Rapid di sini, kelmarin.

Hasim berkata, beliau berpuas hati apabila menerima maklumat ada di kalangan peniaga mengambil langkah dalam menawarkan harga rendah kepada pengguna.

“Banyak kedai, pasar raya dan pasar mini dilihat turut sama menyahut seruan kerajaan melaksanakan skim kawalan itu dengan menawarkan harga rendah berpatutan. Ini suatu perkembangan baik," katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan, sekiranya ada di kalangan peniaga cuba menaikkan harga barang, kerjasama orang ramai boleh salurkan maklumat ke talian bebas tol kementerian 1800-88- 6800.

Datuk Hasim (kiri) melihat harga ayam yang dijual di Pasaraya Rapid, semalam. 

No comments: