Thursday 2 August 2012

Peserta Felcra Negeri Sembilan terima duit raya RM17 juta

SEREMBAN  - Seramai 96 peserta Felcra dari masyarakat Orang Asli Sungai Sempo 1 di Jempol merupakan penerima tertinggi duit raya bagi bayaran dividen interim pertama tahun ini dengan jumlah keseluruhan RM1.3 juta.



Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setiap peserta Orang Asli di kampung berkenaan akan menerima duit raya berjumlah RM14,000 mengikut keluasan tanah selepas Felcra berjaya menguruskan hasilnya dengan baik selain didorong peningkatan harga kelapa sawit di pasaran antarabangsa.

"Mereka adalah antara 10,000 peserta Felcra di negeri ini yang akan menerima duit raya itu mulai esok dengan jumlah keseluruhannya ialah RM17 juta," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, rabu lalu.
Mohamad Hasan menyampaikan replika cek duit raya bagi bayaran dividen interim pertama tahun ini kepada Ketua Peserta Projek Kampung Malan 2, Ismail Bakar (tengah) sambil diperhatikan oleh Hazrinor Hisham Harun di Wisma Negeri, kelmarin.

Hadir sama, Pengurus Besar Wilayah Felcra Berhad Tengah, Hazrinor Hisham Harun.

Kata Mohamad, daripada 10,000 peserta Felcra itu pula, seramai 150 peserta merupakan masyarakat Orang Asli yang melibatkan jumlah keseluruhannya pemberian dividen interim menjelang Aidilfitri itu ialah RM1.6 juta.

"Kesemua 96 peserta itu diberikan tanah seluas 4.04 hektar setiap satu keluarga bagi tanaman kelapa sawit," ujarnya.

Sementara itu, seramai 233 peserta Felcra di Kampung Malan 2, Kuala Pilah pula akan menerima RM6,000 duit raya mengikut tanah seluas 1.61 hektar setiap seorang bagi tanaman getah.

"Jumlah lain yang tertinggi ialah peserta projek di Ulu Yoh, Tampin yang mengusahakan getah akan menerima jumlah keseluruhannya RM1.2 juta, selain peserta Orang Asli di Kampung Esok, dengan jumlah keseluruhannya melebihi RM300,000," ujar Mohamad.

Beliau menegaskan, langkah Felcra ini amat dipuji dengan pemberian duit raya melalui agihan dividen interim pertama ini yang sekali gus meringankan tanggungan peserta sepanjang Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri kelak.

Dalam perkembangan yang sama, Felcra hari ini turut mengeluarkan dividen akhir bagi tahun 2011 kepada anak syarikat kerajaan negeri, Menteri Besar Incorporated (MBI) selepas mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit dengan jumlah melebihi RM11.6 juta.

"Pemberian dividen itu membuktikan kecekapan pengurusan ladang Felcra dan ia adalah keuntungan yang dibuat oleh Felcra dalam menguruskan tanah milik MBI ini," katanya.

Tegas Mohamad, sejak 1999 hinggalah tahun lalu, Felcra telah memberikan dividen sebanyak lebih RM59 juta kepada MBI, dan ia kemudiannya disalurkan kepada rakyat dalam bentuk bantuan bagi membantu kehidupan mereka.

"Ladang milik MBI ini berselerak di seluruh negeri dan ada dalam kelompok kecil dengan keluasan lebih 4,046 hektar dan ia telah diuruskan dengan baik oleh Felcra," katanya.

Sumber: UtusanOnline

No comments: