Friday 3 August 2012

Bazar Ramadan Senawang popular

SEREMBAN - Setiap kali tibanya bulan puasa, Bazar Ramadan @ Dataran Senawang, dekat sini, pasti menjadi tumpuan penduduk sekitar negeri ini selain pengunjung luar.

Bazar yang menawarkan pelbagai barangan sempena menyambut Syawal itu kini mendapat sambutan luar biasa
daripada pengunjung yang sanggup datang dari jauh termasuk sekitar Lembah Klang dan Melaka.

Lebih menarik, bazar yang masuk tahun ke-10 itu kini semakin berkembang apabila ia pada awalnya bermula dengan lapan gerai, bertambah kepada 132 gerai pada 2009 dan kini sudah menempatkan hampir 220 gerai.

Tidak hairanlah, bazar yang dibuka dari pukul 8 malam hingga 4 pagi itu tidak putus-putus dikunjungi orang ramai yang ingin mendapatkan pelbagai jenis barangan semurah RM1 sehingga mencecah ribuan ringgit.

Pelbagai jenis barangan yang ditawarkan menyebabkan bazar Ramadan yang dibuka dari pukul 8 malam hingga 4 pagi ini tidak putus-putus menerima pengunjung.

Membawa konsep tidak menumpu kepada penjualan juadah berbuka puasa semata-mata, bazar tersebut menawarkan pelbagai jenis kelengkapan perayaan termasuk baju kurung, Melayu, songkok, pakaian lelaki dan wanita, kuih raya, makanan dan minuman serta aksesori perhiasan rumah.

Penyelaras bazar itu, Lokman Atan memberitahu, bazar yang dibuka selama sebulan sehingga Aidilfitri itu semakin mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

"Pada hari bekerja bilangan pengunjung mampu mencecah sehingga 8,000 hingga 10,000 orang manakala pada hujung minggu pula jumlah pengunjung boleh mencecah sehingga 15,000 ke 20,000 orang.

"Setiap tahun, kawasan ini menjadi tumpuan ramai. Mereka ini datang dari jauh, ada dari luar daerah ini seperti Jempol, Jelebu, Kuala Pilah dan Tampin. Malah lebih menarik ia turut berjaya menarik pengunjung dari Selangor, Kuala Lumpur dan Melaka," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Jelas Lokman, ia berikutan faktor lokasinya yang strategik, luas, selesa selain pengunjung pasti tidak menghadapai masalah mencari ruang letak kenderaan di sana.

"Bazar ini tidak seperti bazar yang hanya menjual juadah berbuka puasa yang dibuka pada sebelah petang sahaja. Bazar ini dibuka sehingga pukul 4 pagi.

"Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada golongan yang bekerja membeli-belah pada waktu malam," ujar Lokman.

Tambahnya, seperti tahun-tahun sebelum ini, bazar itu pasti menjadi seperti pesta jualan lebih-lebih lagi seminggu sebelum menjelang Aidilfitri.

"Apa yang penting peniaga dapat mencari rezeki dan pendapatan tambahan sepanjang Ramadan ini," katanya.

Sumber : Utusan

No comments: