Wednesday 29 August 2012

Ambil segera tong sampah beroda percuma.

SEREMBAN - Penduduk Seremban yang belum mengambil tong sampah beroda diminta mengambilnya segera di Pejabat Logistik SWM di No 562, Jln Haruan 4/7, Oakland Commercial Centre, Seremban 2 di sini.

Pengurus negeri SWM Environment Sdn Bhd (SWM) Negeri Sembilan, Mahadi Abd Talib berkata kegagalan pemilik kediaman mengambil tong sampah itu yang diberikan secara percuma akan mengganggu kelancaran perkhidmatan kutipan sisa pepejal kelak.

"Pemilik rumah kediaman hendaklah membawa bersama borang pendaftaran yang telah diberikan terlebih awal, salinan kad pengenalan serta salah satu salinan bil utiliti (air, elektrik, telefon tetap atau bil cukai pintu) semasa menuntut tong sampah beroda," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemilik juga boleh menghubungi Pejabat Logistik SWM di talian 06-6314715 untuk sebarang pertanyaan lanjut berkenaan dengan masa pengambilan tong sampah beroda itu.

"Kerjasama dan sokongan daripada penduduk dalam program ini penting lebih-lebih lagi apabila pelaksanaan penuh Akta 672 pada September 2012, iaitu bagi kawasan Seremban di mana penggunaan tong sampah seragam ini adalah diwajibkan," katanya.

Pemberian tong sampah beroda 120 liter secara percuma bagi penduduk taman perumahan dalam Majlis Perbandaran Seremban dilaksanakan secara berperingkat bermula September 2011 sehingga 31 Ogos 2012 seperti termaktub di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672).

- Bernama

No comments: