Wednesday, 29 August 2012

Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan kali ke-55 peringkat N.Sembilan

SEREMBAN - Tanggungjawab mengekalkan kemerdekaan yang dikecapi negara selama ini merupakan tanggungjawab bersama.

“Walaupun setiap manusia mempunyai fikiran berbeza dan pendapat yang berlainan, apabila membicarakan soal kemerdekaan, perasaan dan jiwa perlu bersatu hati.”
kata Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan ketika sidang media ringkas di Wisma Negeri, petang tadi.

“Letakkan perbezaan fahaman tersebut dan terima pandangan yang baik agar satu keputusan untuk kebaikan semua dapat di capai.” tambah beliau.

Menurut Menteri Besar, sempena menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-55 tahun ini, aturcara peringkat negeri akan diadakan pada 31 Ogos 2012 di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) berserta acara perarakan kontinjen dan tabik hormat dengan disertai lebih dari 100 kontinjen pelbagai agensi, bekas anggota keselamatan negara dan anggota keselamatan negara.

DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan DYMM Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tengku Aishah Rohani binti Tengku Besar Mahmud turut pekenan mencemar duli ke Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan tersebut dan Baginda berdua dijangka tiba pada jam 8:30 pagi.

Orang ramai dijemput hadir bagi menambah kemeriahan pada Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-55 peringkat Negeri Sembilan pada tanggal 31 Ogos nanti.

Majlis Bacaan Tahlil Peringkat Negeri Sembilan akan di adakan di Masjid Negeri Seremban, pada 30 Ogos hari Khamis dengan dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan disusuli dengan tahlil kemerdekaan sebelum di sambung dengan solat Isya.

No comments: