Sunday 16 September 2012

Piala Malaysia: Lapan nyala impian besar

Kuala Lumpur: Lapan slot peringkat suku akhir Piala Malaysia sudah disahkan pemiliknya apabila Lions XII, Johor FC, Kelantan, Negeri Sembilan, FELDA United dan Selangor menyertai Tentera dan Pahang yang melayakkan diri lebih awal selepas lima perlawanan.

Saingan Kumpulan A menyaksikan kemenangan 2-0 Johor ke atas PKNS di Stadium Larkin gagal membuka laluan ke suku akhir buat skuad kendalian Fandi Ahmad itu selepas pendahulu kumpulan, Lions XII dan Johor FC memastikan tiket mereka menerusi keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Jalan Besar.

Dalam Kumpulan B, Kelantan menyertai Tentera ke peringkat seterusnya selepas berpesta gol ketika menewaskan Terengganu 6-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, manakala Tentera terikat 2-2 menentang Kedah di Stadium Selayang.

Kumpulan C menyaksikan penyandang juara, Negeri Sembilan masih berpeluang mempertahankan kejuaraan apabila menjuarai kumpulan hasil keputusan seri 1-1 bertemu FELDA United – yang turut ke layak – di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Perak menang 2-1 ke atas Sime Darby di Stadium Perak, Ipoh.

Misi 33 menyala

Dalam aksi Kumpulan D, Misi 33 Selangor terus menyala tahun ini apabila juara 32 kali itu menewaskan Sarawak 2-0 di Stadium Shah Alam untuk mengiringi Pahang yang tewas 3-2 di tangan T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu.

Lions XII selaku juara Kumpulan A akan bertemu naib juara D, Pahang di laman lawan pada aksi suku akhir manakala Johor FC melayan kunjungan Selangor.

Juara kumpulan maut, Kelantan akan berkunjung ke laman juara Kumpulan C, FELDA United, manakala Tentera yang dipintas pada saat akhir berdepan penyandang juara, Negeri Sembilan. - BHOnline


Jadual Peringkat Suku Akhir

Aksi suku akhir pertama dijadualkan bermula 28 September ini dan perlawanan timbal balik iaitu suku akhir kedua pada 5 Oktober 2012

Suku Akhir Pertama
28.9.2012 - 8.45 mlm - Pahang vs Lions XII
28.9.2012 - 8.45 mlm - Felda United vs Kelantan
28.9.2012 - 8.45 mlm - ATM vs N.Sembilan
28.9.2012 - 8.45 mlm - Johor FC vs Selangor


Suku Akhir Kedua
5.10.2012 - 7.45 mlm - Lions XII vs Pahang
5.10.2012 - 8.45 mlm - Kelantan vs Felda United
5.10.2012 - 8.45 mlm - N.Sembilan vs ATM
5.10.2012 - 8.45 mlm - Selangor vs Johor FC

No comments: