Tuesday 25 September 2012

Kutipan zakat meningkat

SEREMBAN – Kutipan zakat harta oleh Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) mencatatkan kenaikan 11.94 peratus sepanjang tempoh sembilan bulan pertama ini berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Agama Islam negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, PZNS berjaya mengutip zakat harta
berjumlah RM43.1 juta, bermula Januari sehingga kini.

Katanya, jumlah kutipan itu menunjukkan kenaikan 11.94 peratus atau RM4.6 juta berbanding tahun sebelumnya, hanya RM38.5 bagi tempoh yang sama.

“Bagi zakat fitrah pula, sebanyak RM4.03 juta dengan jumlah pembayar seramai 620,874 orang berbanding 2011, di mana RM3.89 juta dengan jumlah pembayar seramai 599, 383 orang.

“Jumlah kutipan meningkat 3.58 peratus atau RM139,691 daripada tahun sebelumnya,” katanya pada majlis penyerahan zakat perniagaan daripada Tabung Haji Properties Sdn Bhd kepada PZNS di sebuah hotel, di sini, semalam.

Dato' Seri Utama Hj. Mohamad menerima zakat perniagaan daripada Datuk Azizan.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Datuk Razak Mansor.

Menurutnya, kesedaran umat Islam di negeri ini semakin meningkat dengan adanya Skim Pembayaran Zakat Berjadual (SPZB) yang diwujudkan sejak 1998 sebagai pilihan utama untuk menunaikan zakat pendapatan.

“Sehingga kini, kira-kira 25,839 kakitangan kerajaan dan swasta di negeri ini telah menyertai skim tersebut dengan perolehan hampir mencecah RM1.8 juta sebulan.

“PZNS menyasarkan perolehan RM22.4 juta sebulan menerusi skim tersebut pada akhir tahun ini,” katanya.

Mohamad berkata, usaha berterusan akan dilakukan PZNS bagi memastikan umat Islam berkelayakan di negeri ini menunaikan zakat, sekali gus membantu ekonomi umat Islam dan golongan memerlukan.

Pada majlis itu, Mohamad menerima zakat perniagaan daripada Tabung Haji Properties Development Sdn Bhd berjumlah RM336,725 yang disampaikan Pengerusi Kumpulan TH Properties Sdn Bhd, Datuk Azizan Abd Rahman.

Sumber: SH

No comments: