Wednesday 26 September 2012

Kawasan dikenalpasti laksana PR1MA di N.Sembilan

SEREMBAN - Enam kawasan dikenal pasti di Seremban dan Nilai bagi melaksanakan Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Negeri Sembilan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata pemilihan enam kawasan itu berikutan prasarananya yang lengkap dan projek fasa pertama PR1MA itu akan
mengambil masa sehingga dua tahun untuk menyediakan antara 1,500 dan 2,000 unit rumah mampu milik.

"Ini adalah projek pertama PR1MA dan kita yakin, dengan adanya projek PR1MA ini, ia mampu memberi keselesaan kepada golongan yang berpendapatan sederhana memiliki rumah sendiri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini, semalam.

Mohamad berkata dalam tempoh lima tahun, dianggarkan antara 6,000 dan 8,000 unit rumah PR1MA akan dapat disediakan di Negeri Sembilan.

Beliau berkata salah satu acara yang akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena lawatan kerja beliau ke Negeri Sembilan pada Sabtu ini, ialah melancarkan PR1MA peringkat negeri.

"Kerajaan sedar, masalah harga rumah yang terlalu mahal sekarang, sangat membebankan rakyat. Oleh sebab itulah kerajaan Barisan Nasional (BN) melakukan PR1MA bagi memberi kesenangan kepada semua pihak.

"Kerajaan akan memastikan supaya banyak rumah seperti ini akan dibangunkan dan ia memerlukan tanah kerajaan. Saya yakin Perdana Menteri akan melihat isu perumahan sebagai masalah utama yang harus diselesaikan selain menyediakan lebih banyak projek PR1MA di seluruh negara.

"Saya harap Belanjawan 2013 yang akan dibentangkan Perdana Menteri pada Jumaat ini akan turut memberi tumpuan kepada perumahan," katanya.

- Bernama

No comments: