Friday 20 July 2012

"Mengoca" Tradisi Unik Yang Menyeronokkan

Mungkin ramai yang tidak biasa mendengar perkataan "mengoca" dan tertanya-tanya akan maksud perkataan itu.

Namun bagi masyarakat di negeri ini, perkataan itu bukanlah sesuatu yang asing kerana ia membawa maksud aktiviti menangkap ikan beramai-ramai menggunakan tangan dan selalunya tertumpu di kawasan sungai, tali air atau kolam.


Kebiasaannya, aktiviti "mengoca" diadakan selepas musim menuai padi yang mana ketika itu kebanyakan sungai, tali air atau empangan mulai kering.

Namun jika paras air sungai atau kolam itu didapati dalam, penduduk akan menggunakan pelbagai peralatan menangkap ikan seperti tangguk, jala dan jeramak.

SEPERTI PESTA

Baru-baru ini, penulis sempat meluangkan masa untuk melihat sendiri kemeriahan aktiviti ini yang diadakan di Laman Bangkinang, Kampung Tapak, Batu Kikir di sini, iaitu kira-kira 60 kilometer dari bandar Seremban.

Menyaksikan aktiviti ini, ia boleh diibaratkan seperti pesta apabila penduduk kampung beramai-ramai ke sebuah kolam di situ yang tersedia mungkin ratusan ekor ikan sembilang yang menanti untuk ditangkap.

Aktiviti ini selalu dijalankan seperti pertandingan di mana pemenangnya akan dikira berdasarkan jumlah tangkapan.

Bagaimanapun ramai juga yang lebih berminat menjadi "penonton" sahaja kerana tidak mahu berbasah dan dikotori lumpur dan takut terkena sengat ikan yang ditangkap.

Seorang penduduk kampung, Ramli Ahmad berkata, mengoca adalah satu daripada aktiviti yang digemari dan sering dinantikan oleh penduduk kampung itu terutama golongan belia dan kanak-kanak.

Katanya, bukan hasil tangkapan yang menjadi keutamaan dalam mengoca, tetapi keseronokan mencari ikan dan bermain air beramai-ramai.

"Mengoca ini amat menyeronokkan kerana kita dapat lihat mereka yang mengoca akan berebut-rebut menangkap ikan sementara mereka yang menjadi penonton akan bersorak memberi semangat," katanya.

Katanya, hasil tangkapan pula selalu akan dibawa pulang untuk dijadikan lauk makan malam pada hari itu.



HILANGKAN TEKANAN

Bagi Mohd Bahari Idris pula, mengoca bukan sahaja aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung, malah ia boleh menghilangkan rasa tekanan dalam diri.

Katanya, walaupun aktiviti itu kadang kala memenatkan kerana cuba menangkap ikan yang berkeliaran dalam air, namun, ia boleh diibaratkan seperti senaman yang menyihatkan tubuh badan.

"Semasa mengoca itu kita akan terbongkok-bongkok mencari ikan, dan cuba mengejar ikan yang berkeliaran, tapi apabila ikan tersebut dapat ditangkap kita akan rasa puas," katanya.

Aktiviti mengoca juga ada risikonya seperti terdedah kepada sengatan hidupan air atau tercedera akibat terpijak batu atau kayu tajam yang terdapat dalam kolam atau sungai.

"Jadi mereka yang mengoca perlu berhati-hati sewaktu melakukan aktiviti ini walaupun ia menyeronokkan namun perlu mengelak dari menghadapi kecederaan," kata Mohd Bahari.


AKTIVITI DALAM PAKEJ HOMESTAY

Seperti aktiviti tradisi yang lain, mengoca juga semakin dilupai kerana walaupun masyarakat di negeri ini tahu mengenainya namun hanya segelintir sahaja yang masih meminatinya.

Justeru kerajaan negeri di bawah Jawatankuasa Bertindak, Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, telah mengenalpasti aktiviti turun temurun ini untuk dijadikan sebagai satu daripada produk pelancongan di negeri ini.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, mengoca kini telah dijadikan sebagai satu daripada aktiviti yang disediakan dalam pakej "homestay" di negeri ini.

Langkah ini bukan hanya akan menghidupkan tradisi mengoca malah dapat memperkenalkannya kepada masyarakat luar terutama yang datang dari luar negara.

"Bagi kita di Negeri Sembilan, mengoca memang sudah biasa, tapi bagi masyarakat luar ia sesuatu yang unik dan menarik dan oleh kerana itu saya rasa ia boleh dijadikan tarikan pelancongan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beberapa homestay di negeri ini juga sudah menyediakan pakej untuk aktiviti itu antaranya Homestay Laman Bangkinang dan Homestay Kampung Lonek di Kuala Pilah dan Homestay Klawang di Jelebu.

Katanya, aktiviti tersebut akan dimuatkan dalam pakej pelancongan di beberapa lagi homestay di negeri itu terutama bagi kampung-kampung yang mempunyai sungai dan kolam air.

Mohammad Razi berkata kerajaan negeri memang berhasrat untuk memasukkan pelbagai lagi aktiviti tradisi masyarakat negeri ini dalam pakej homestay bagi menawarkan satu kelainan dan pengalaman.

-- BERNAMA

No comments: