Friday 16 November 2012

Jadikan hijrah Rasulullah SAW sebagai satu iktibar - MBNS

SEREMBAN  - Umat Islam disaran supaya berjihad secara relevan ke arah merealisasikan pengertian Hijrah dalam zaman serba moden ini demi kesejahteraan bangsa, agama dan negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, konteks Hijrah dalam Islam iaitu membawa perubahan ke arah kebaikan tidak mampu tercapai tanpa menanam semangat jihad dalam diri masing-masing.

"Jihad merupakan pengorbanan dari pelbagai aspek demi memastikan tertegaknya Islam di muka bumi ini. Melawan nafsu juga merupakan suatu jihad.

“Semangat jihad di hati sebahagian umat Islam kian luntur kerana mereka lebih mementingkan nafsu dan mengejar kebendaan daripada taat kepada Allah SWT,” tegas beliau.

Beliau berharap semoga tahun baru ini memberi pengertian yang bermakna dalam diri masing-masing di semua peringkat dan jadikan hijrah Rasulullah SAW sebagai satu iktibar kepada kita mengenai fungsi dan peranan menjadi khalifah Allah.

Dalam majlis tersebut, DYMM YDP Besar Negeri Sembilan turut berkenan mencemar duli menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1434H peringkat Negeri Sembilan, Tan Sri Dato’ Seri Md Raus bin Sharif berupa wang tunai RM10 ribu, pakej umrah bernilai RM6,ooo dan sehelai jubah serta sijil.

Sambutan Maal Hijrah 1434 Peringkat Kebangsaan bertemakan “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah” akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Mohamad Hasan beramah mesra dengan Md. Raus Sharif sambil diperhatikan oleh isterinya, Raja Salbiah Tengku Nujumuddin (kiri) dan isteri Md. Raus, Salwany Mohamed Zamri (kanan) selepas majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Negeri, di Seremban, malam semalam.

No comments: