Thursday 8 November 2012

Tuanku Aishah Rohani ceriakan hari kanak-kanak

SEREMBAN: Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan merasmikan Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2012 peringkat negeri di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di sini hari ini.

Ketibaan baginda disambut oleh isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Salbiah Tunku Nujumuddin
dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat negeri, Datuk Zainab Nasir.

Dalam majlis tersebut, Tuanku Aishah Rohani turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan Majlis Perwakilan Kanak- kanak kepada 14 pelajar sekolah sekitar negeri ini.

Sambutan yang diraikan di negara ini sejak 1959 itu kini bertemakan Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) Kanak-kanak, Serlahkan Potensimu.

Majlis tersebut turut diceriakan dengan pelbagai persembahan tarian, penyampaian sajak dan koir meliputi kanak-kanak daripada peringkat tadika sehingga ke pelajar sekolah.

Sementara itu, Zainab ketika berucap dalam majlis berkenaan berkata, sambutan tersebut bertujuan memberi pengiktarafan kepada golongan itu sekali gus memupuk kesedaran masyarakat supaya lebih bertanggungjawab memelihara hak dan masa depan kanak-kanak.

"Sambutan ini bukan sekadar meraikan mereka, tetapi dianggap sebagai program meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap isu sosial yang melibatkan kumpulan tersebut.

"Ini kerana, kanak-kanak merupakan salah satu fokus yang diberikan keutamaan kerajaan dalam usaha negara mencapai status negara maju," ujarnya.

Zainab menambah, kerajaan tidak mampu melaksanakan program bagi dimanfaat kanak-kanak secara bersendirian sebaliknya memerlukan kerjasama holistik melibatkan semua pihak.

"Isu kanak-kanak kini bukan lagi bersifat peribadi, tetapi menjadi isu masyarakat dan bersifat global," katanya.

No comments: