Monday 8 April 2013

Program Khidmat Bantu Di Rumah manfaat OKU, warga emas

TELOK KEMANG  - Program Khidmat Bantu Di Rumah merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam memastikan golongan yang memerlukan mendapat bantuan secukupnya daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Komuniti JKM, Zaharuddin Ramna memberitahu, program yang mula diperkenalkan di negeri ini
pada 2010 dan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun lalu bertujuan membantu golongan orang kurang upaya (OKU) serta warga emas yang tinggal bersendirian.

''Sukarelawan ini akan membuat lawatan ke rumah tersebut bagi membantu menjalankan urusan harian seperti penjagaan diri, kebersihan tempat tinggal, rakan bual dan urusan luar seperti membayar bil serta penjagaan kesihatan.

''Dengan program ini, golongan OKU dan warga emas akan berasa selesa tinggal di kediaman masing-masing tanpa rasa tersisih daripada masyarakat," katanya di sini semalam.

Turut hadir semasa lawatan tersebut ialah Pegawai Daerah Port Dickson, Ab. Khalid Mat.

Tambahnya, setiap parlimen mempunyai sebanyak 10 sukarelawan yang terlatih dan mereka akan bantu antara dua sehingga empat orang peserta.

Bagaimanapun kata beliau, pihaknya memerlukan penglibatan daripada semua kaum bagi menjayakan projek itu kerana program khidmat bantu rumah ini bukan hanya untuk golongan Melayu sahaja tetapi semua kaum di negeri ini.

''Orang ramai yang ingin menyertai program ini boleh ke pejabat JKM di setiap daerah untuk mendaftar dengan segera kerana khidmat mereka amat kami perlukan.

''Pihak kami juga akan memberi sedikit peruntukan kepada mereka untuk membeli barang-barang keperluan yang akan dibawa ke rumah warga emas serta orang kurang upaya yang ada di dalam senarai JKM," ujarnya.


© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: