Monday 1 April 2013

Komitmen masyarakat India membanggakan.


SEREMBAN  - Kepelbagaian parti berasaskan masyarakat India di negara ini tidak bermakna sokongan mereka terhadap Barisan Nasional (BN) lemah, akan tetapi menjadi teras dan aset terpenting dalam memastikan kemenangan parti komponen itu pada pilihan raya akan datang.


Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, sebelum ini ada di antara masyarakat India memilih untuk menyertai pembangkang yang kononnya dapat merealisasikan impian dan membela nasib mereka.

Namun kini katanya, selepas diberikan kepercayaan untuk menjadi wakil rakyat kepada mereka, ternyata banyak janji hanyalah omong kosong, menyebabkan mereka kembali menyokong BN.

''Kita dapat lihat hanya BN sahaja yang dapat menunaikan janji kerana kita tidak hanya bercakap tetapi dikotakan dan dilaksanakannya. Sebab itulah banyak masyarakat India ketika ini sudah kembali kepada BN.

''Kita mahu jadikan masyarakat India ini sebagai deposit tetap BN dan berharap sokongan yang diberikan ini terus dikekalkan," katanya.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Gerak Sakti Makkal Sakti di Wisma UMNO negeri di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Menteri Besar menjelaskan, BN telah bersedia untuk berdepan dengan pilihan raya akan datang dan usaha memperkemaskan dan melaksanakan program-program di peringkat akar umbi juga sedang giat dilakukan.

''Kita telah mengatur jentera sejak tahun lalu dan pelbagai gerak kerja telah dan sedang dilakukan, cuma sekarang hanya menunggu isyarat daripada kepimpinan parti untuk menentukan tarikh pilihan raya," katanya.

Ditanya tentang calon, Mohamad menjelaskan, semua calon BN mewakili parti dalam pilihan raya umum akan datang adalah mereka yang sudah melepasi proses saringan Jabatan Insolvensi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

''Memang semua nama calon telah kita senarai pendekkan dan kesemuanya berjaya melepasi saringan ini. Nama mereka telah dihantar kepada pemimpin parti yang juga Perdana Menteri dan sekarang terpulanglah kepada beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) membuat keputusan," katanya

Sumber © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: