Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Perdana Menteri dijangka membuat pengumuman mengenai nasib graduan itu pada pembentangan Belanjawan 2013 pada 28 September ini.
Beliau berkata, pada masa ini terdapat 3,000 orang lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan 7,000 orang lulusan IPG yang kini menganggur kerana tidak mendapat tawaran untuk menjadi guru.
"Kita berhadapan dengan masalah 10,000 graduan pendidikan yang tidak mendapat tawaran bekerja daripada Kementerian Pelajaran.
"Kerajaan telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan berusaha mencari jalan penyelesaian.
"Apa jalan penyelesaian itu akan diumumkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan belanjawan tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Politeknik Nilai (PNS) di sini semalam.
Menurutnya, semua para graduan berkenaan diharap bersabar dan menunggu pengumuman yang akan menentukan masa depan mereka.
Ditanya sama ada mereka yang terlibat akan menerima berita gembira, Khaled berkata: "Mudah-mudahan".
PNS yang dirasmikan oleh Mohamed Khaled semalam adalah institusi pendidikan pertama beroperasi di Kompleks Pendidikan Bandar Enstek dekat sini.
Ia didirikan di kawasan 40 hektar melibatkan perbelanjaan keseluruhan RM248 juta yang mampu menampung sehingga 2,400 pelajar dalam tujuh program pengajian yang ditawarkan.
No comments:
Post a Comment