Saturday, 15 September 2012

Pastikan kemerdekaan, keamanan berkekalan

SEREMBAN - Semua pihak di negara ini perlu memainkan peranan bagi memastikan kemerdekaan dan keamanan yang dinikmati hari ini berkekalan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rakyat hari ini menikmati keamanan dan kemakmuran hasil perjuangan para pejuang terdahulu
yang sanggup mengorbankan nyawa demi mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata, tidak ada jaminan nikmat itu akan berterusan kerana banyak anasir yang tidak bertanggung jawab cuba menganggu dengan pelbagai taktik dan kaedah.

"Hari ini kita menuai pelbagai nikmat hasil perjuangan orang yang terdahulu tetapi keadaan ini tidak bermakna ia akan kekal selama-lamanya.

"Semua pihak sama ada kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, swasta dan orang perseorangan perlu memainkan peranan dan bertanggungjawab bagi memastikan keamanan negara dapat diteruskan kepada generasi akan datang," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya 2012 Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Negeri Sembilan (Pekerti) di Dewan Pekerti, di sini kelmarin.

Hadir sama, Yang Dipertua Pekerti, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Razak Mansor; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohammed Najeeb Abdullah.

Mohamad juga menggesa anak-anak diberi didikan sempurna sejak awal supaya menghormati dan menghargai jasa para pemimpin dan pejuang yang berkorban demi negara dan bukannya memberi didikan agar membenci dan menghina pemimpin.

Pada majlis tersebut, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan kepada bakal-bakal haji serta membuat cabutan undi serta menyampaikan hadiah cabutan kepada ahli-ahli Pekerti.

Sumber: Utusan Online 

Lain-lain foto sila KLIK tajuk dibawah :

No comments: