Thursday 6 September 2012

Air di PD selamat : MB

SEREMBAN – Air yang dibekalkan melalui loji rawatan air Sungai Linggi ke kawasan sekitar Port Dickson, Rantau, Spring Hill dan Lukut selamat untuk digunakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya telah menerima sijil daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengesahkan bahawa air yang disalurkan ke rumah di kawasan terbabit adalah selamat.

Menurutnya, air yang berbau di kawasan berkenaan berpunca daripada kandungan ammonia yang tinggi, bukannya disebabkan perkara lain.

“Memang berlaku pencemaran air di Sungai Linggi, namun air yang dibekalkan tidak terjejas. Ia selamat untuk digunakan.

“Cuma kandungan ammonia didapati meningkat di loji rawatan air Sungai Linggi sehingga menyebabkan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) terpaksa meninggikan lagi penggunaan klorin terhadap air tersebut.

“Apabila ammonia dan klorin digunakan dalam kandungan yang tinggi, maka ia akan menghasilkan sedikit bau, namun air tersebut tetap selamat digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan negeri di Wisma Negeri, semalam.

Mohamad berkata, penduduk di kawasan terbabit tidak perlu bimbang dengan kualiti air yang dibekalkan ke rumah mereka.

Sebelum ini, penduduk di sekitar Port Dickson dan Rantau merungut berikutan kualiti air yang dibekalkan Sains ke rumah mereka berbau dan kotor.

Malah penduduk juga mendakwa sakit perut selepas minum air yang dimasak melalui bekalan paip di rumah.

No comments: