Keunikan Gua Batu Maloi

KUALA PILAH - Seramai 40 peserta yang menyertai Ekspedisi Gua Batu Maloi di Johol dekat sini baru-baru ini, menempuh pengalaman menarik yang berbeza daripada kebanyakan jelajah pelancongan di negara ini.

Gua Batu Maloi yang terletak di kawasan lembah di pertengahan dua puncak gunung di penghujung Banjaran Titiwangsa iaitu Gunung Datok dan Gunung Tampin menampilkan corak kehidupan masyarakat Orang Asli yang tidak pernah luput ditelan zaman.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, gua itu memiliki 12 perhentian dengan perhentian 3, 6, 7, dan 8 menampilkan artifak yang ditinggalkan oleh masyarakat Maloi antaranya gigi mereka sendiri.

Menurutnya, beliau difahamkan terdapat kesan titisan air yang membentuk seakan-akan orang Maloi dan Puteri Bunian yang pernah tinggal di kawasan tersebut dan sehingga kini masih menjadi tanda tanya kepada penduduk setempat sama ada ia benar-benar wujud ataupun sebaliknya.

"Program jelajah ini mampu memberi kenangan manis bagi penggemar aktiviti lasak dan menjadikan gua ini sebagai satu tarikan pelancongan yang mempamerkan kehidupan masyarakat Orang Asli zaman dahulu di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup ekspedisi berkenaan.

Beliau berkata, program itu bertujuan memperkenalkan produk pelancongan baru menjadi daya tarikan terhadap negeri ini yang kaya dengan pelbagai tumbuh-tumbuhan herba, termasuk tongkat ali dan kacip fatimah.

Jelasnya, peserta jelajah itu juga didedahkan dengan flora dan fauna serta mengecapi kepuasan aktiviti yang ekstrem di Gua Batu Maloi.

Beliau berkata, terdapat juga lima spesies enggang ditemui di sini yang mampu menarik pelancong untuk berkunjung ke gua itu.

"Kita mahu melihat generasi muda hari ini menyertai dan menjelajah sendiri gua yang mempunyai banyak keunikannya," katanya.

Program itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Pelancongan, Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri.

 Sumber : Utusan

No comments: