Isu rumit temui penyelesaian

DS Hj. Mohamad Hj. Hasan (tiga, kiri) sempat bersalaman dengan kanak-kanak Tabika Kemas Kampung Serampang Indah, semalam.
SERAMPANG INDAH - Penduduk Serampang Indah, di sini, kini boleh menarik nafas lega setelah isu status pemilikan tanah ladang yang berlarutan sehingga lebih 20 tahun bakal berakhir tidak lama lagi.

Isu berkenaan yang dianggap paling rumit pernah dialami penduduk di situ berjaya diselesaikan hasil rundingan Kerajaan Negeri bersama pembeli tanah ladang baru.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, isunya bermula apabila Kampung Serampang Indah diwujudkan oleh Kesatuan Sekerja kira-kira 20 tahun lalu.

“Mereka mendapat tanah daripada Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Ekonomi negeri ini kemudian menubuhkan syarikat diberi nama Gatco.

“Syarikat ini terdapat peserta sama seperti skim Felda dan setiap peserta diberi lot tanah tapak rumah seluas 0.4 hektar dan ladang seluas 3.2 hektar.

“Tetapi hasrat untuk membangunkan kawasan terbabit tidak tercapai apabila syarikat berkenaan didapati berhutang dan menjadi muflis hingga akhirnya menyebabkan semua tanah berkenaan dirampas pihak bank,” katanya kepada pemberita dalam sidang media ketika membuat lawatan kerja di Kampung Serampang Indah, semalam.

Sementara itu, Mohamad berkata, pihak bank membuat lelongan namun tidak laku. Bagaimanapun, sekitar 1997 dan 1998, Dana Harta mengambil alih tanah berkenaan kemudiannya dibeli pula oleh syarikat Tamarai Holdings.

“Jadi, Kerajaan Negeri terpaksa akur dengan perintah mahkamah bahawa tanah itu telah menjadi hak milik syarikat terbabit,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, peneroka asal atau waris sama ada menetap di kampung itu atau tidak akan memperoleh tanah ladang seluas 1.6 hektar.

Manakala, pemilik tanah yang membelinya daripada peneroka atau waris yang tinggal sama ada menetap di kampung berkenaan atau tidak memperoleh 0.8 hektar. Namun, tawaran berkenaan hanya ke atas ladang sahaja tidak termasuk lelongan awam.

Dalam pada itu, kira-kira 30 penduduk kampung membuat demonstrasi aman di laluan utama ke kampung berkenaan bagi menuntut supaya mendapat kembali tanah ladang mereka.

Sumber: SinarHarian

No comments: