Wednesday 3 October 2012

Tabika Kemas platform kecemerlangan kanak-kanak

RASAH  - Tanggapan sesetengah pihak bahawa Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) tidak mempunyai hubungkait dengan pendidikan formal bagi memastikan anak-anak berjaya dalam bidang akademik adalah tidak benar.

Sambil menambah kenyataan itu tidak tepat dan terpesong, Menteri Besar,
Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan kejayaan dalam bidang akademik tidak hanya melibatkan sesi pembelajaran dalam bilik darjah, akan tetapi meliputi persekitaran mereka.

Jelasnya, faktor kejayaan anak-anak adalah kerana usaha mereka sendiri dan guru-guru hanyalah pembimbing dalam menentukan kecemerlangan tersebut.

''Apa yang penting ialah proses pembelajaran ini tidak hanya tertumpu kepada golongan tertentu akan tetapi melibatkan segenap lapisan selaras dalam usaha membudayakan pendidikan sepanjang hayat.

''Tabika Kemas adalah platform bagi anak-anak belajar dan membina keyakinan diri supaya potensi mereka dapat dikembangkan," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian dalam perasmian Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhamad, Sungai Gadut.

Teks ucapan Mohamad dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi.

Menurut Mohamad, usaha seperti ini dilihat sebagai medan terbaik bagi semua kanak-kanak meningkatkan keyakinan diri dan membolehkan mereka menyuarakan pandangan mereka mengikut saluran yang betul.

"Peranan untuk mengembangkan lagi potensi kanak-kanak tidak hanya terletak pada guru-guru, akan tetapi melibatkan sokongan padu ibu bapa bagi mencorakkan kebolehan mereka ke tahap yang lebih baik,'' katanya.

Pada program yang berlangsung selama dua hari itu, pelbagai acara dipertandingkan meliputi teater, boneka tangan, tarian, nasyid, kompang, pertandingan genderang, reka cipta, tilawah, bercerita, pidato dan pertandingan mewarna.

Seramai 82 peserta yang menjuarai acara yang dipertandingkan itu akan mewakili negeri ini ke peringkat kebangsaan di Terengganu bulan depan.

Sebahagian kanak-kanak Tabika Kemas menunjukkan isyarat 1Malaysia pada majlis perasmian Hari Potensi Kanak-kanak Tabika Kemas Negeri Sembilan di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Sungai Gadut, Seremban, semalam. Turut hadir Hasim Rusdi (tengah).

Sumber: Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: