Monday 8 October 2012

Pasukan 4x4 bakal gegar pantai Port Dickson

PORT DICKSON - Pantai peranginan negara, Port Dickson, dekat sini bakal menjadi tumpuan kelab pacuan empat roda (4x4) dari dalam dan luar negara bagi merebut kejuaraan cabaran Port Dickson International Sand Challenge (PDISC) 2012 yang akan diadakan dari 19 hingga 21 Oktober ini.

Pengarah teknikal PDISC, Zaini Shaarani berkata, pertandingan selama tiga hari yang bertempat di Pantai Saujana, Pantai Cahaya dan Pantai Selesa di Port Dickson bakal membawa kelainan dengan menyaksikan peserta bakal merentasi cabaran di kawasan pantai.

''PDISC merupakan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara kerana sebelum ini pertandingan kenderaan 4x4 hanya diadakan di kawasan hutan dan orang ramai terutama peminat sukan ini tidak berpeluang untuk menyaksikannya.

''Bagaimanapun, dalam pertandingan kali ini kita adakan di kawasan pantai, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai melihat bagaimana para peserta mengendalikan kenderaan mereka bagi mengatasi 15 halangan yang disediakan," katanya pada pemberita dalam sidang akhbar PDISC di sini, kelmarin.

Zaini berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 30 penyertaan kelab dan pasukan 4x4 dari dalam dan luar negara.

''Sehingga kini, tiga pasukan dari Thailand, Ireland dan Singapura telah mengesahkan penyertaan mereka dalam pertandingan ini," ujarnya.

Tambahnya, selain pertandingan kenderaan 4x4, pihak penganjur juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik sepanjang program berkenaan.

''Antara aktiviti menarik yang bakal kita adakan termasuklah pameran motosikal berkuasa tinggi dan motosikal klasik, pertandingan Auto Show dan pameran," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pelancongan Malaysia Negeri Sembilan, Zaidi Kasim berkata, acara yang diadakan lima tahun sekali itu akan dibuat secara tahunan di negeri ini.

''Juara bakal membawa pulang trofi pusingan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan trofi kejohanan pada tahun kelima.

''Kita yakin program ini akan dapat menarik ramai peminat kenderaan 4x4 dari dalam dan luar negara termasuk pelancong ke pantai peranginan terkenal di negara ini," jelasnya.


Pertandingan yang kali pertama diadakan itu dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Tourism Malaysia Negeri Sembilan, Kementerian Pelancongan negeri, Majlis Perbandaran Port Dickson dan syarikat XFour Sport.

No comments: