Wednesday 27 March 2013

Pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan berjaya


SEREMBAN  - Kecemerlangan yang dipamerkan oleh penjawat awam di negeri ini telah menyumbang secara langsung kepada kejayaan pentadbiran kerajaan negeri pada tahun lalu.

Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Mat Ali Hassan berkata, secara keseluruhannya pentadbiran kerajaan negeri telah berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negeri.
''Ini kerana kerja kuat yang ditunjukkan penjawat awam selain memudahkan cara kerja, telah menarik minat lebih ramai pelabur datang ke sini serta penerimaan baik rakyat terhadap perkhidmatan yang diberikan," katanya dalam ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 di Klana Resort di sini, kelmarin.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dengan melibatkan lebih 500 penjawat awam pentadbiran kerajaan negeri menerima anugerah tersebut.

Mat Ali berkata, antara pencapaian itu ialah kemasukan pelaburan pada tahun lalu dalam sektor pembuatan berjumlah RM2.7 bilion, melebihi sasaran RM1 bilion yang ditetapkan tahun lalu.

''RM1.08 bilion ringgit adalah pelaburan dalam sektor pelancongan, perkhidmatan dan pembinaan," ujarnya.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri juga berjaya mengutip cukai tanah melebihi 90 peratus dengan hasil cukai semasa berjumlah RM105 juta.

''Pejabat Tanah dan Galian serta semua Pejabat Daerah dan Tanah telah berjaya mencapai 100 peratus pendaftaran urus niaga pindah milik tanah dalam tempoh satu hari bekerja," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu sasaran empat juta kedatangan pelancong ke negeri ini juga berjaya dilakukan apabila tahun lalu seramai 4.1 juta hadir berbanding 2.4 juta orang pada 2011.

''Sebanyak sembilan projek perumahan terbengkalai juga telah berjaya disiapkan dengan penyediaan sebanyak 1,854 unit rumah di lima daerah seluruh negeri ini.

''Lebih 27,000 orang pula telah diberi bantuan setiap bulan di bawah Dasar Jaringan Keselamatan Sosial melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli," katanya.

Mengenai kemudahan infrastruktur, kerajaan negeri telah memastikannya dilaksanakan dengan baik termasuklah kemudahan asas di semua kawasan penempatan, sama ada jalan ditar atau berhubung kait elektrik dan bekalan air.

''Laman Web Kerajaan Negeri Sembilan telah diberi penarafan lima bintang selama dua tahun berturut-turut iaitu pada 2011 dan 2012 oleh Malaysia Government Portals and Website Assesment.

''Pentadbiran kerajaan negeri juga menerima anugerah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia dalam kategori pengurusan selama dua tahun berturut-turut semasa Konvensyen Kumpulan Inovasi dan Kreativiti Peringkat Kebangsaan," kata.

Tambahnya segala pencapaian tersebut tidak mungkin terhasil jika tiada semangat berkumpulan, komitmen dan kesungguhan sebagai akarnya manakala dorongan dan motivasi menyirami dahannya supaya terus kukuh menjadi satu kesatuan.


No comments: