Friday 22 February 2013

Al-Quran mampu tangani cabaran masa kini - DS Hj.Mohamad


SEREMBAN  - Al-Quran ternyata tidak mempunyai garis batasan sempadan, waktu dan zaman, tidak terhad kepada bangsa dan status manusia, sebaliknya adalah risalah yang memberi rahmat kepada seluruh alam.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, apabila al-Quran dikupas menerusi segala isi dan khazanahnya,
akan menyerlahkan sifat kesyumulan merangkumi aspek syariah dan tatacara kehidupan yang digariskan Allah sebagai panduan perlembagaan kepada umat manusia seluruhnya.

''Al-Quran adalah sumber rujukan yang mampu menjadi petunjuk arah dalam kehidupan, di samping berupaya menangani pelbagai halangan, cabaran dan ancaman terhadap akhlak dan moral masyarakat.

''Lantaran, al-Quran bukan sekadar dibaca tetapi perlu diamalkan isi kandungannya sebagai memenuhi tuntutan agama," katanya ketika berucap dalam Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi dekat sini malam semalam.

Majlis berkenaan disempurnakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Hadir sama Undang Luak Jelebu, Datuk Musa Wahab; Undang Luak Johol, Datuk Mohd. Jan Abdul Ghani dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri.

Dalam ucapannya juga Mohamad menegaskan soal perlunya pengawalan diri agar tidak tersalah langkah sehingga terperangkap dalam kontroversi dalam mentafsirkannya maksud dalam ayat al-Quran yang tertentu sehingga membawa kepada perpecahan.

Beliau juga bimbang akan kewujudan konflik apabila berlaku persaingan dalam mencurahkan ilmu terdapat unsur-unsur mengambil kesempatan oleh sesetengah pihak yang mempamerkan ilmu mengikut cita rasa dan ciptaan sendiri.

''Tindak-tanduk seumpama ini harus diberikan perhatian oleh kita semua agar kecetekan ilmu yang dimiliki oleh individu dan kumpulan yang berkepentingan itu tidak akan menimbulkan keadaan tidak selesa dalam kalangan masyarakat.

''Malahan lebih buruk lagi apabila percanggahan itu digunakan bagi menegakkan fahaman ideologi dan siasah sehingga bukan sahaja menimbulkan keresahan bahkan turut mencabar perpaduan ummah," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu agar umat Islam belajar daripada sejarah lampau supaya boleh menyusun langkah teratur dalam menuju masa depan yang gemilang serta membudayakan amalan membaca al-Quran mengikut kaedah yang betul.

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: