Wednesday 3 April 2013

'Usah didik murid benci kerajaan' - MBNS


SEREMBAN - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta guru-guru supaya tidak sesekali menjadikan kerjaya guru sebagai platform mendidik murid membenci kerajaan dan pemimpin negara.

Perbuatan mendidik murid membenci kerajaan dan pemimpin kata Mohamad, hanya akan mendorong aliran salah kepada murid selain meninggalkan kesan yang berbahaya dan berpanjangan pada masa hadapan.


"Saya mahu guru tanamkan semangat patriotisme, cintakan negara dalam benak hati murid. Jangan tanamkan sifat benci kepada negara dan pemimpin," kata beliau semasa merasmikan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Putra Nilai, dekat sini semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd. Dali dan Pengerusi Eksekutif Nilai Resources Group Sdn. Bhd, Tan Sri Dr. Gan Kong Seng.

Bangunan baharu tiga tingkat sekolah berkenaan dibina di atas tapak seluas 2.42 hektar sumbangan pemaju Putra Nilai (BBN Development Sdn. Bhd.).

Dalam majlis itu, geran sekolah berkenaan turut diserahkan oleh Kong Seng kepada pihak pengurusan sekolah tersebut.

Menurut Mohamad, beliau kecewa sentimen negatif itu terdapat di kalangan guru sehingga ada yang sanggup menghina pasukan keselamatan di Lahad Datu, Sabah.

"Apa kata kalau yang terbunuh itu ialah ayah, abang atau adik beradiknya. Tahukah guru itu, pasukan keselamatan negara mati dalam keadaan yang begitu kejam?" katanya.

Mohamad turut bimbang jika wujud proses membenci kerajaan ini bermula dari tadika lagi terutama yang dikendalikan pihak persendirian, ia akan menjadi wabak yang sukar dibendung.

"Saya khuatir ada elemen yang lebih menakutkan berlaku suatu hari kelak. Saya berdoa supaya perkara itu dijauhkan dan tidak berlaku dalam negara yang kita sayangi ini," kata beliau.

Sumber © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments: