Promosi Kraf Mantai 2012 18 hingga 19 Julai ini



Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Sembilan akan mengadakan Promosi Kraf Mantai 2012 sempena sambutan bulan Ramadan di Kompleks Kraf Negeri Sembilan di Jalan Datuk Abdul Kadir di sini pada 18 dan 19 Julai ini.

Pengarahnya Mohamad Ali Mad Jais berkata antara aktiviti sampingan yang akan dijalankan ialah jualan daging segar dan makanan tradisional seperti lemang, rendang, bahulu, dodol, wajik dan gula enau.

"Selain itu, turut diadakan ialah jualan kraf daripada produk rotan dan buluh, jualan batik, songkok serta busana muslim iaitu pakaian, tudung dan sebagainya. Kita juga akan mengadakan aktiviti interaktif kraf dan pelbagai aktiviti menarik yag lain," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu Negeri, Datuk Mohammad Razi Kail dijangka merasmikan program promosi tersebut.

- Bernama