SEREMBAN - Polis bertindak pantas menahan seorang pegawainya yang berpangkat inspektor bagi membantu siasatan setelah dia didakwa mencederakan seorang pekerja hotel bertaraf dua bintang di Seremban 2 di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi itu, pegawai polis berusia 32 tahun berkenaan datang ke hotel tersebut bersama tiga rakannya untuk menginap.
Difahamkan, berlaku pertengkaran antara pegawai polis itu dengan dua pekerja hotel di kaunter lobi dipercayai berpunca daripada salah faham berhubung pemulangan duit baki pembelian aiskrim.
Kejadian selama 10 minit itu turut dirakam kamera rakaman litar tertutup (CCTV) hotel.
Menurut laporan polis yang dibuat mangsa, pegawai polis yang berang dan tidak berpuas hati itu memanjat kaunter lobi sebelum memukul salah seorang pekerja hotel di bahagian telinga menggunakan belakang pistol miliknya.
“Polis itu menunjukkan pistolnya sebelum memukul saya dan ia mengenai bahagian telinga setelah saya beritahu akan laporkan kejadian ini kepada pihak polis.
“Beberapa minit kemudian, sebuah kereta peronda polis dengan dua anggota tiba untuk mengawal dan menenangkan keadaan sebelum menghantar saya ke hospital untuk dirawat," kata mangsa.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
“Polis masih menyiasat punca pegawai itu bertindak demikian. Selain itu, kawad cam akan dijalankan dan ketika ini, pegawai polis itu ditahan untuk membantu siasatan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment