Kuartet Negeri Sembilan berjaya meraih pingat emas dalam acara 4x100 meter Sukan Malaysia XV di Kuantan, kelmarin. |
Sebelum ini Negeri Sembilan tidak pernah memenangi acara 4x100m lelaki sepanjang penyertaannya pada Sukan Malaysia.
Rangkaian yang dibarisi Mohd. Nur Azli Azmi, Mohd. Hakim Rosli, Mohd. Aizat Mokhtar serta Mohd. Shahmim Azmi mencatat 41.79 saat meninggalkan Terengganu di tempat kedua.
Sabah memperoleh tempat ketiga dengan catatan 42.39s.
Namun, catatan masa oleh kuartet Negeri Sembilan itu masih belum dapat memecahkan rekod kejohanan 41.04s milik Sabah pada Sukan Malaysia 2008 di Terengganu.
Azmi berkata, empat pelari tersebut yang berada di bawah bimbingannya melalui program pelapis kebangsaan Majlis Sukan negara (MSN) telah membuktikan kecemerlangan pada temasya ini.
"Saya puas hati dengan mereka hari ini (semalam) malah ada di antara pelari ini belum sampai setahun berada di bawah bimbingan saya tetapi sudah mampu membuatkan pasukan mereka (Negeri Sembilan) gembira.
"Kuartet ini masih mempunyai masa yang panjang dan mungkin selepas ini mereka mampu melakukan lebih baik lagi," kata Azmi.
Sementara itu, pelari keempat, Mohd. Shahmim berkata, kecemerlangan yang diraih semalam tidak dapat dicapai tanpa tunjuk ajar Azmi berkaitan aspek taktikal larian.
"Kami amat puas hati dengan kemenangan ini malah kemenangan ini juga kami mahu berikan kepada jurulatih kami (Azmi) kerana telah banyak membimbing untuk meraih kejayaan," kata Mohd. Shahmim.
Sumber: Utusan