MAHA N.Sembilan 2012

Kerajaan Negeri Sembilan masih belum berpuashati dengan penghasilan pengeluaran makanan di negeri ini kerana masih belum mencapai tahap pengeluaran makanan sara diri.

Dijangka pada tahun 2015, negeri ini akan menghasilkan makanan utama iaitu beras sebanyak 40 peratus dan sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan makanan dari negeri lain.

Demikian kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan pada sidang media selepas merasmikan MAHA Negeri Sembilan 2012 sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sembilan (HPPNNS) serta sambutan minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Sembilan, Dato’ Haji Yunus Bin Rahmat, Speaker Undangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Bin Mansor, Ketua Pengarah Pertanian Malaysia, Tuan Haji Mustafa Kamal Bin Baharuddin dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia, Dato’ Zainal Bin Dahlan.

Menurut Menteri Besar, pelbagai usaha yang dilakukan bagi meningkatkan kadar penghasilan bahan makanan di negeri ini seperti memulihkan sawah-sawah terbiar bagi penghasilan padi, ladang rakyat untuk penanaman sayur, manakala ternakan lembu,kambing, dan tenusu diuruskan oleh veterinar.

Jelas beliau, MAHA NS ini diadakan bagi menghargai dan memberi pengiktirafan kepada para peladang, penternak dan nelayan kerana berjaya meningkatkan taraf ekonomi dalam negara.

“Ini merupakan satu platform untuk menjadi pertemuan di antara pembeli dan pengeluar. Pengusaha juga berpeluang untuk memperkenalkan produk-produk yang dihasilkan manakala pembeli pula dapat melihat pelbagai keluaran produk jenis tempatan,” kata beliau.

Majlis yang dianjurkan oleh kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ini telah diadakan di Bekas Tapak Kem Paroi, Seremban bermula hari ini sehingga 1 Julai ini.


Manakala, pihak penaja bagi MAHA NS 2012 adalah FELDA, SIRIM dan TM dan sebanyak 365 buah lot kedai yang menjual produk penghasilan masing-masing.

Dalam majlis tersebut, Menteri Besar telah menyampaikan hadiah pertandingan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sembilan (HPPNNS) 2012 dan Bantuan Azam Niaga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau turut berkesempatan melawat ke gerai-gerai pameran peladang, penternak, pertanian, perusahaan dan veterinar.

No comments: